BN dahului di kawasan Melayu - ILHAM

Pakatan Rakyat ketinggalan

Pengundi Melayu kawasan parlimen Hulu Selangor memperlihatkan kecenderungan yang lebih memihak kepada Barisan Nasional, dari isu yang menyentuh hati, saluran maklumat dan sebagainya, menurut satu soal selidik yang dijalankan oleh ILHAM Centre. Malah, 37.2% daripada 261 orang responden menjangkakan kemenangan BN (berbanding 16.1% menjangkakan PR) dalam PRK Hulu Selangor ini.
Tiga isu nasional yang paling mempengaruhi undi adalah "1Malaysia" (29.1%), "Isu Ketuanan Melayu" (25.3%) dan "Isu lompat parti oleh pimpinan Pakatan Rakyat" (20.3%). Walaupun tidak diterangkan secara jelas apakah maksud tersirat di sebalik jawapan yang terpilih, namun secara kasar, ketiga-tiga isu ini dijangka lebih positif kepada BN.

Malah, isu "Anwar pengkhianat Negara" (11.5%) lebih berpengaruh, jika dibandingkan dengan isu "APCO-UMNO" yang hanya memberi pengaruh kepada 3.1% responden. Dengan kata lain, isu yang dibangkitkan oleh Pakatan Rakyat, seperti APCO-UMNO, enjin jet dan kapal selam (1.5%) mendapat sambutan yang dingin di kalangan responden soal selidik ini.

Lebih-lebih lagi, pengundi Melayu di kawasan luar bandar ini bergantung kepada akhbar arus perdana (73.6%) dan televisyen (82.0%) sebagai saluran maklumat. Fenomena ini mungkin membimbangkan Pakatan Rakyat, memandangkan maklumat yang diperolehi pengundi ini datang daripada media arus perdana yang dikuasai kerajaan Barisan Nasional, yang sudah tentunya tidak akan memihak kepada PR.
Demikianlah keputusan soal selidik yang bertemakan "Kajian Persepsi dan Kecenderungan Pengundi Melayu dalam Pilihan Raya Kecil P.094 Hulu Selangor", disediakan oleh Panel Penyelidikan ILHAM CENTRE. Soal selidik ini dijalankan pada 19 hingga 21 April, menyasarkan 261 orang responden dari pengundi Melayu sahaja.

Serangan peribadi tidak dipersetujui

Bagaimanapun, 50.6% daripada responden tidak bersetuju dengan kempen yang berbentuk serangan peribadi dan bersifat provokatif sepanjang PRK ini. Hampir satu perempat responden mengangguk kepada bentuk kempen sedemikian, sementara satu perempat yang selebihnya tidak pasti atau tiada respon.

Zaid Ibrahim, calon PKR diasak dengan serangan peribadi sebermulanya PRK ini. Pada hari penamaan calon, media mengajukan soalan "kaki botol" kepada pemimpin Pakatan Rakyat, dan kemudian dihebohkan bahawa gambar Zaid minum arak akan didedahkan. Zaid Ibrahim mengakui bahawa dirinya pernah mengambil minuman alkohol semasa beliau muda tetapi telah bertaubat. Namun demikian, serangan diteruskan apabila disiarkan gambar yang diubahsuai, semata-mata untuk menunjukkan Zaid kaki botol.

Selain label "kaki botol", Zaid Ibrahim juga dilemparkan tuduhan "kaki judi" dan sebagainya. Bukan calon PKR sahaja, malah Ketua Umum PKR Anwar Ibrahim juga dilabelkan sebagai agen Yahudi, selain kes liwat yang belum habis dibicarakan.

ILHAM bersikap Optimis untuk PR

Sesungguhnya BN kelihatan berada di kedudukan yang selesa menurut hasil kajian tersebut, panel penyelidikan ILHAM Centre kekal optimis dengan hasil yang diperolehi. Angka 40.2% responden yang tidak pasti siapa pemenangnya dibaca maksudnya sebagai "belum dapat menyatakan pendirian", yang kemudian disusuli pula dengan ramalan pertarungan sengit yang terikat pada 50:50.

Daripada kajian tersebut, BN kini mendahului PR di kawasan luar bandar / pedalaman terutama di kawasan atau kampung majoriti Melayu dan Felda. Bagaimanapun, ILHAM Centre mencadangkan dasar kebajikan kerajaan negeri PR Selangor diteruskan, memandangkan sebanyak 34.1% melihat isu ini sebagai isu yang bakal mempengaruhi kecenderungan pengundian.

Hulu Selangor merupakan kawasan pengundian parlimen luar bandar, dengan jumlah pengundi sebanyak 64,500 orang (termasuk 799 orang pengundi pos), terdiri daripada 52.7% Melayu, 26.3% Cina, 19.3% India, 1.1% orang asli dan 0.59% lain-lain.
Perkembangan terkini menyaksikan PR ketinggalan dalam kawasan Melayu, apabila pemimpin DAP Lim Kit Siang menyasarkan sokongan 85% pengundi Cina, hari ini.

*Lim Hong Siang ialah Editor MerdekaReview, edisi bahasa Melayu. Analisis ini berdasarkan hasil soal selidik yang dijalankan oleh ILHAM centre.

1 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

kempen BN makan diri - HARAKAH bil 1533