Hulu Selangor : Promo habis-habisan

Kempen terakhir PR, BN
Oleh Shazwan Mustafa Kamal dan Syed Mu’az Syed Putra

HULU SELANGOR, 24 April — Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dalam pusingan terakhir kempen di sini hari ini mendakwa beliau telah menawarkan calon “jenama terbaik” untuk pengundi membuat pemilihan esok.

“Kita mempunyai produk jenama yang baik iaitu P. Kamalanathan (calon BN).
“Saya sudah tengok latar belakang beliau dan saya lihat beliau seorang yang bersih dari segala masalah selain berdedikasi,” kata beliau di hadapan kira-kira 300 penduduk pada program Sarapan 1 Malaysia di Padang Kampung Gumut Tambahan, Kalumpang dekat sini.


Najib memulakan kempen hari terakhir seawal 9 pagi. Begitu juga Ketua Umum Pakatan Rakyat Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Mursyidul Am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Kalumpang terletak di utara bahagian Hulu Selangor, berhampiran sempadan Plaza Tol Tanjong Malim.

Daerah mengundi Kampung Gumut menyediakan kira-kira 760 undi manakala daerah mengundi Bandar Kalumpang pula 1,200 undi dan Kampung Bahru Kalumpang sekitar 1,470 undi.

Kecuali Kampung Bahru Kalumpang dua daerah mengundi itu dimenangi oleh BN pada 2008.
Najib yang juga Pengerusi BN berkata, pilihan raya kecil ini penting untuk menentukan parti mana yang boleh membawa perubahan.

Najib di Ulu Yam Baru semalam.“Perubahan itu hanya boleh dilakukan oleh BN, bukan pembangkang.


“Kita telah selesaikan banyak masalah yang tidak dapat diselesaikan oleh kerajaan Selangor di bawah pimpinan Pakatan Rakyat.

“Boleh dikatakan kita telah menyelesaikan keseluruhan masalah yang dialami rakyat Hulu Selangor.

“Kita bukan hanya bercakap ataupun membuat janji-janji kosong tetapi kita telah membuktikannya.

“Jadi saya harap pengundi dapat membuat keputusan tepat dengan memilih calon BN dan memberikan kemenangan kepada kita,” katanya lagi.

Presiden Umno itu mengingatkan pengundi di Parlimen Hulu Selangor supaya tidak terpengaruh dengan isu dan fitnah yang dibangkitkan pembangkang sepanjang kempen pilihan raya.

“Saya mahu beritahu kepada pengundi supaya tidak terpesong dengan segala isu dan fitnah yang dilemparkan pembangkang terhadap Barisan Nasional.

“Mereka (pembangkang) akan mengambil kesempatan untuk melemparkan pelbagai tohmahan dan fitnah kepada kita yang tiada kena-mengena langsung dengan pengundi disini.

“Apa kena-mengena isu APCO Worldwide dengan pengundi di sini?

“Apa yang dituduh selama ini tiada ada asas langsung,” katanya.

Selain majlis sarapan pagi itu, Najib juga melawat Kampung Assam Kumbang, Kuala Kubu Baru; Bandar Utama di Batang Kali sebelum hadiri ceramah bersama bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad di Apartmen Kenanga, Taman Bunga Raya, Bukit Beruntung malam ini.
Dalam pada itu, Anwar mengingatkan peneroka-peneroka Felda bahawa setiap undi diberikan kepada Pakatan Rakyat ibarat langkah sokongan untuk membawa perubahan dan janji berbanding hanya retorik kosong BN.


“Masa depan Selangor terletak di tangan anda. Anda putuskan apa yang terbaik.

“Apabila Allahyarham Tun Razak memulakan Felda, niat adalah untuk membantu orang Melayu yang miskin dan janjinya adalah peneroka boleh merasai manfaat dan bebas daripada kemiskinan,” kata Ahli Parlimen Permatang Pauh ini.

“Kira-kira 30-40 tahun kemudian, plot tanah pula hilang, tujuan asal telah dilupakan oleh BN,” kata Anwar kepada kira-kira 100 orang yang hadir, kebanyakannya penyokong Pakatan Rakyat.

Anwar juga cuba untuk mengetepikan kebimbangan di kalangan sesetengah orang bahawa jika Pakatan Rakyat berkuasa, ia akan mengadakan program dan dasar bertentangan dengan kepentingan agenda Melayu kerana pemimpin DAP digambarkan sebagai rasis, sebagaimana didakwa oleh pemimpin-pemimpin Umno.

“Kesemua tanggapan bahawa Pakatan Rakyat buruk, DAP bahaya.... tak munasabah.

“Lihat di Pulau Pinang, selepas Ketua Menteri Lim Guan Eng mengetuai kerajaan negeri, ada peningkatan dalam dana pengajian Islam daripada RM12 juta kepada RM24 juta.

“Ini semua adalah fakta, bukan sesuatu yang saya sengaja reka,” kata Anwar, bekas timbalan perdana menteri.

Dalam usaha mengatasi serangan peribadi ke atas calon Pakatan Rakyat Datuk Zaid Ibrahim berhubung isu mengambil alkohol, Anwar menceritakan suasana di Parlimen yang berlaku kelmarin.

Anwar berucap di ceramah di Sungai Buaya, Hulu Selangor semalam.“Anda tahu Lim Kit Siang? Beliau bangun di Dewan Rakyat dan meminta Perdana Menteri, Timbalan Perdana Menteri, Menteri Dalam Negeri dan (Ahli Parlimen) Rembau bangun dan mengatakan bahawa mereka tidak pernah minum arak dalam hidup mereka.


“Menteri Dalam Negeri, saya tidak boleh tengok muka dia lepas itu, ketika Kit Siang bercakap, kepalanya selalu berada bawa meja (ingat dia bersembuny),” kata Anwar sambil menerima tepukan daripada mereka yang hadir.

Oleh itu katanya, pengundi mesti memberikan undi mereka kepada Zaid.

“Meskipun anda ada bendera BN di luar rumah anda, saya faham tapi jangan undi mereka (BN) tetapi undi kepada Zaid, undi untuk Pakatan,” katanya.

“Biarkan Zaid jadi orang tengah untuk membawa masalah anda kepada Menteri Besar Selangor,” kata Anwar yang berada di kawasan Hulu Bernam pagi ini.

Selepas ucapannya, Anwar juga bersarapan pagi — nasi lemak — dengan mereka yang hadir.
Sebelum itu beliau melawat sebuah pasar di Tanjung Malim, Perak di mana kebanyakan penduduk Hulu Bernam membeli barangan keperluan harian mereka.


Jadual kempen Anwar hari ini termasuklah melawat Kampung Assam Kumbang dan Taman Rasa di Kuala Kubu Baru dan lewat petang ini menuju Taman Koskan.

Pengundian diadakan esok dalam pilihan raya kecil ini, yang pertama di Selangor sejak Mac 2008.


Tiada ulasan: