Laluan PR di Hulu Selangor sukar

Kit Siang: Pakatan tak boleh terlampau yakin kekal di Hulu Selangor

KUALA KUBU BARU, 18 April — Penasihat DAP Lim Kit Siang mengingatkan Pakatan Rakyat supaya tidak terlampau yakin boleh mempertahankan kerusi Parlimen Hulu Selangor sambil memberi amaran agar sama sekali tidak mengetepikan hakikat pilihan raya umum 2008.
Sambil merujuk kepada perbezaan 198 undi dua tahun lalu, Lim juga memberi amaran Pakatan Rakyat belum pasti akan menang pilihan raya kecil Ahad ini.


Penasihat DAP, Lim Kit Siang (5 dari kiri) bersama ahli-ahli dan penyokong Datuk Zaid Ibrahim di Hulu Selangor hari ini. - Gambar oleh Jack Ooi“Kita tidak boleh (terlalu) selesa,” kata beliau sambil menambah, Pakatan Rakyat seharusnya menganggap pilihan raya ini sebagai “satu ujian besar dan krisis.”


“Saya percaya bahawa Datuk Zaid Ibrahim boleh dipilih sebagai Ahli Parlimen baru Hulu Selangor tetapi perlu kerja keras, dengan setiap undi perlu diambilm kira,” kata Lim pada majlis pelancaran kempen melawat pengundi SuperSunday18 di sini pagi ini.

Dalam analisis terperincinya, Lim menjelaskan, Barisan Nasional (BN) tewas kerusi Parlimen dengan perbezaan undi tipis tetapi menguasai ketiga-tiga kawasan Dewan Undangan Negeri dengan majoriti keseluruhan 6,175 undi.

Pada pilihan raya umum 2008, BN menang di DUN Hulu Bernam, Batang Kali dan Kuala Kubu Baru masing-masing dengan majoriti 3,548, 2,179, dan 448 undi.

Justeru, Lim persoal mengapa majoriti 6,175 undi BN membabitkan ketiga-tiga DUN itu terbalik berbanding kelebihan 198 undi diperoleh oleh Datuk Dr. Zainal Abidin Ahmad.

“Undi peringkat Parlimen bagi PKR (23,388) hanya lebih 54 undi berbanding yang diperoleh calon-calon Pakatan Rakyat bagi tiga kawasan DUN (23,334),” katanya.

Beliau berkata ketika pilihan raya umum Timbalan Presiden MIC Datuk G. Palanivel memperoleh 23,190 undi, di mana kurang 6,320 undi berbanding keseluruhan 29,510 undi yang diperoleh ketiga-tiga Ahli Dewan Undangan Negeri dari BN.

“Jelas lebih 6,200 pengundi memberikan undi kepada BN di peringkat Dewan Undangan Negeri, dan tidak mengundi untuk Palanivel. Apa yang signifikan ialah lebih 6,200 undi tidak pergi kepada Pakatan Rakyat,” katanya.

“Ke mana perginya lebih 6,200 undi ini?” kata beliau.

“Jika 2,000 atau 3,000 pengundi keluar mengundi untuk BN pads 25 April ini, BN boleh menang,” katanya.

Oleh itu kata Lim, kesemua pemimpin PKR, PAS dan DAP, dan mereka yang berkempen untuk Pakatan Rakyat harus sedar bahawa pihaknya boleh pasti akan mencapai kemenangan muktamad Ahad ini.

Dalam analisis itu Lim menambah, BN hanya tewas di Hulu Selangor dua tahun lalu kerana pengundi tidak gembira dengan calon yang diturunkan, bukannya tiket yang dia tanding.


Tiada ulasan: