Bakal Calon UMNO?

3 calon dalam senarai utama
oleh greensaff
Sekarang ini UMNO beriya-iya nak bertanding di Parlimen Hulu Selangor. Tapi, jika bertanding, siapa yang mereka akan calonkan?

Sebenarnya, UMNO Hulu Selangor mempunyai sebab untuk meletak calon kerana mereka mempunyai ramai calon yang berkebolehan. Di sini dicatatkan beberapa nama yang bakal dicalonkan jika UMNO diberi laluan oleh MIC untuk betanding.

Antaranya ialah:

Datuk Zainal Abidin Sakom
1.Calon yang pertama ialah Datuk Zainal Abidin Sakom yang juga merupakan bekas ADUN Batang Kali. Beliau bertanding di Batang Kali pada 2004, namun pada 2008 beliau memberi laluan kepada Mohd Isa Abu Kasim.

Beliau juga merupakan Pengerusi Yayasan Basmi Kemiskinan (YBK) Selangor, iaitu yayasan yayasan yang bergeser dengan kerajaan Selangor baru-baru ini. Isu YBK menjadi hangat pada Februari lepas setelah mereka mengadakan demo kerana tidak puas hati berhubung isu pembangunan tanah di Serendah.

Isu ini lebih hangat apabila anak syarikat YBK, Permodalan YBK Sdn. Bhd., hari ini menfailkan saman terhadap Kerajaan Negeri Selangor dan dua lagi bagi menuntut ganti rugi RM73.8juta.

Mengapa saya jelaskan isu YBK ini. Sebabnya tidak lain tidak bukan kerana pengerusinya adalah Zainal Abidin Sakom. Usaha Zainal untuk menyerang Kerajaan Selangor bagi membantu kempen rampas Selangor amat berkesan.

Dengan bantuan daripada media, segelintir rakyat Selangor melihat YBK adalah pembela rakyat. Ini memberi kredit kepada Zainal jika beliau menjadi calon PRK kali ini kalau UMNO bertanding. Namun Kerajaan Selangor dapat menepis isu ini dengan mudah jika ia digunakan pada kempan PRK nanti.

Zainal juga mesra dipanggil ‘Ustaz Zainal’. Ini adalah satu lagi kredit bagi BN kerana kemesraan amat penting pada pribadi calon yang diketengahkan mereka.

Jika dicalonkan, Zainal dijangka tidak mempunyai masalah untuk menang kerana rakyat sudah mengenali beliau. Sewaktu PRU11 2004, beliau mengalahkan calon PKR,Dr Halili Rahmat dengan majoriti 8,828. Namun, apabila calon DUN berkenaan ditukar kepada Mohd Isa pada PRU12, majoriti menjunam kepada 2,179 undi. Ini jelas menunjukkan sokongan padu daripada DUN Batang Kali kepada Zainal, berbanding undi yang diperolehi calon BN pada 2008.

Tan Sri Muhamad Muhd Taib
2. Calon yang mungkin dipertaruh UMNO pada PRK Hulu Selangor ialah Tan Sri Muhamad Muhd Taib. Beliau yang merupakan bekas Menteri Besar Selangor dari 1986-1997 dan sememangnya telah dikenali oleh rakyat Selangor. Muhd Taib juga pernah menjawat jawatan Menteri Luar Bandar dan Wilayah.

Muhd Taib telah menjadi ADUN Batang Kali dari penggal 1982 hinggalah penggal 1995. Beliau juga merupakan Naib Presiden UMNO pada 2000-2003. Jika Muhd Taib dicalonkan, BN tiada masalah dalam proses mengenalkan calon kepada pengundi. Atas kapasiti anak kelahiran tempatan, sudah tentu ini akan memberikan kredit kepada Muhd Taib.

Namun, PR dijangka mempunyai banyak isu untuk dimainkan kalau Muhd Taib bertanding. Ini kerana beliau mempunyai banyak skandal. Selain rasuah dalam UMNO, beliau pernah ditahan di Brisbane, Australia pada 16 Disember 1996 kerana tidak mengisytiharkan wang milik adiknya untuk membeli tanah di Queensland . Wang tunai tersebut dalam bentuk ringgit Singapura, Malaysia dan New Zealand. Beliau didakwa di dibawah Financial Transaction Reports Act 1988, Australia. Mahkamah Majistret Brisbane memutuskan beliau bersalah membawa keluar wang tunai sebanyak RM 2.4 juta ke Australia.

Isu moral Muhd taib juga akan dimainkan. Isu perkahwinannya dengan anak Sultan Selangor, Tengku Puteri Zahariah binti Sultan Salehuddin Abdul Aziz Shah (Kuyah) pasti akan berkumandang. Ini kerana ketika menjawat jawatan MB, beliau sanggup menipu Sultan dan membawa lari Ku Yah berkahwin di Selatan Thailand. Perkahwinan itu tidak pernah mendapat restu daripada Sultan.
Walau apa pun isu pribadi yang tepalit pada Muhd Taib, UMNO tiada masalah untuk mencalonkan manusia jenis ini. Lihat sahaja apa yang berlaku di Bagan Pinang. Walaupun TS Isa Samad pernah digantung UMNO akibat kesalahan rasuah, namun dia dicalonkan dan menang di kerusi tersebut.

Malah sudah kelihatan poster-poter dan banting di tempat-tempat strategik mendesak agar beliau dicalonkan.

Dato Haji Mohamed Idris bin Abu Bakar

3. Calon yang mungkin dipilih UMNO ialah Dato Haji Mohamed Idris bin Abu Bakar, yang merupakan Ketua bahagian Hulu Selangor. Beliau juga merupakan ADUN N05 Hulu Bernam. Pada Pilihanraya umum yang lalu, beliau menwaskan calon PAS dengan majoriti 3,549.

Jika beliau dicalonkan, tiada masalah bagi komponen BN yang lain untuk menerimanya kerana beliau adalah Pengerusi BN bahagian. Jadi, tidak akan timbul isu protes terhadap calon. Ahli-ahli UMNO bahagian juga akan bersemangat untuk berkempen jika ketua mereka bertanding.

Kelebihan lain yang akan diperolehi BN jika Dato’ Idris betanding ialah undi daripada DUN Hulu Bernam akan meningkat. Ini kerana beliau adalah ADUN Hulu Bernam sejak sekian lama. Pada pilihanraya umum 2004, beliau menewaskan calon PAS, Abdul Sukor Ali dengan majoriti 6,551 undi.
Pada 2008, majoriti undi yang diperolehi beliau merosot kepada 3,541 akibat tsunami politik yang berlaku. Susut sebanyak 3002 undi daripada PRU 11 2004. Di sini dapat kita lihat, walaupun PRU 2008 menyaksikan ramai calon BN tumbang, tapi Dato’ Idris masih dapat menang dengan majoriti selesa walaupun ia merosot.

Jadi, untuk mengatasi majoriti undi yang diperolehi PKR pada 2008 yang hanya 198 undi adalah amat mudah kerana bahang kemarahan rakyat kepada BN pada PRU12 telahpun reda.

Untuk mendapat balik 3000 undi yang lari di DUN Hulu Bernam pada PRU yang lepas tidak menjadi masalah. Ini kerana, Hulu Bernam mempunyai banyak kawasan Felda yang merupakan kubu kuat BN. Antaranya ialah Felda Sungai Tengi, Felda Tengi Selatan, Felda sungai Dusun, Gedangsa, Felda soeharto, Felda Sungai Buaya.

Kesimpulannya, walaupun terdapat calon lain dalam senarai UMNO, tapi mereka tidak dapat mengatasi kredit yang dipunyai calon-calon di atas. Tetapi, siapapun calon BN di Hulu Selangor, laluan mereka dijangka mudah. Patut la mereka bermati-matian ingin mengambil kerusi itu daripada MIC.

Ikuti analisis seterusnya.

Tiada ulasan: