Bolehkah BN Raih Kemenangan Di Hulu Selangor?

Reaksi pengundi masih belum menentu
Oleh Alan Ting

HULU SELANGOR, 21 April (Bernama) -- Pilihan raya kecil bagi kerusi Parlimen Hulu Selangor Ahad ini dijangka menjadi satu lagi ujian getir kepada Barisan Nasional (BN) dan pakatan pembangkang selepas pilihan raya kecil Parlimen Bukit Gantang pada Mei 2009.

Taruhannya memang amat besar bagi kedua-dua pihak.Bagi BN, ia akan menjadi ujian mengenai penerimaan dan pengiktirafan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak serta dasar-dasar beliau selepas menjawat jawatan setahun yang lepas.

Di pihak pembangkang, ujian ini merupakan penelitian terhadap Parti Keadilan Rakyat (PKR) selepas beberapa siri anggota berprofil tinggi keluar daripada parti itu sejak akhir-akhir ini.

Pilihan raya kecil ini dilabelkan sebagai pertandingan antara heavyweight PKR Datuk Zaid Ibrahim menentang calon lightweight daripada BN, P. Kamalanathan, yang juga Ketua Penerangan MIC.

Jika kedudukan semasa PKR di pentas kebangsaan diambil kira, maka "pada zahirnya" ramalannya mungkin cenderung untuk memihak kepada Zaid.

Bagaimanapun ramai memberi alasan bahawa penilaian seperti itu tidak kena pada tempatnya atau kurang bijak, lebih-lebih lagi berikutan apa yang dilalui PKR sejak dua bulan lepas apabila ramai anggotanya keluar parti.

Malah ahli politik veteran DAP Lim Kit Siang sendiri memberi amaran kepada gabungan parti pembangkang supaya tidak terlalu yakin, dengan tegas mengingatkan mereka supaya tidak mengetepikan hakikat daripada pilihan raya umum 2008.

Sambil menegaskan bahawa pilihan raya kecil 25 April ini bukanlah "kemenangan yang pasti" bagi pakatan pembangkang, beliau menarik perhatian bahawa BN kehilangan kerusi Parlimen Hulu Selangor hanya dengan majoriti tipis 198 untuk namun telah menyapu bersih kesemua tiga kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam kawasan Parlimen berkenaan dengan majoriti besar.

BN menang di Hulu Bernam dengan majoriti 3,548 undi, Batang Kali 2,179 undi dan Kuala Kubu Baru 448 undi.

Dalam hubungan itu, Lim tertanya-tanya apakah yang menyebabkan majoriti terkumpul 6,175 undi bagi BN di ketiga-tiga DUN itu membawa kekalahan dengan kelebihan 198 undi kepada calon BN bagi kerusi Parlimen, Datuk G. Palanivel.

Tokoh veteran DAP itu berkata jelas bahawa bukanlah disebabkan 6,175 pengundi yang memberi sokongan padu kepada BN bagi kerusi DUN, tiba-tiba memutuskan untuk mengundi PKR dalam saingan kerusi Parlimen memandangkan jumlah keseluruhan undi bagi PKR iaitu 23,388 undi hanyalah 54 undi lebih daripada jumlah keseluruhan undi yang diperoleh calon pakatan pembangkang di Hulu Bernam, Batang Kali dan Kuala Kubu Bharu iaitu 23,334 undi.

Lim turut menolak kemungkinan kekalahan BN pada 2008 di Hulu Selangor disebabkan undi rosak memandangkan jumlahnya hanya 1,466 undi dan angka ini tidak jauh daripada jumlah keseluruhan undi rosak bagi ketiga-tiga kerusi DUN iaitu 1,271 undi.

Palanivel memperoleh 23,190 undi tetapi ini merupakan 6,320 undi kurang daripada jumlah keseluruhan undi untuk tiga calon BN bagi ketiga-tiga kerusi DUN iaitu 29,510 undi.

Lim berkata jelas bahawa lebih 6,200 pengundi dalam pilihan raya lepas yang mengundi BN di peringkat DUN tidak memberi undi mereka kepada Palanivel.Namun apa yang ketara mereka juga tidak mengundi pakatan pembangkang.

Jadi, persoalannya ialah di manakah lebih 6,200 pengundi ini menghilang?"Jika 2,000 atau 3,000 daripada pengundi ini keluar untuk mengundi BN pada 25 April ini, BN boleh menang.

Oleh itu, kesemua pemimpin serta penyokong PKR, PAS dan DAP perlu sedar bahawa pilihan raya kecil Hulu Selangor bukanlah kemenangan yang pasti (bagi pakatan rakyat)," kata Lim.

Kelihatan seolah-olah hujah veteran DAP ini menunjukkan bahawa BN kalah di Hulu Selangor pada 2008 kerana pengundi kurang senang dengan Palanivel dan bukanlah sangat atas tiket yang ditandinginya.

Beberapa ahli politik turut sependapat dengan Lim. Ada pandangan yang mengatakan BN boleh menang di Hulu Selangor jika bukan kerana perpecahan undi yang ketara dalam kalangan pengundi Melayu memandangkan BN menang di kesemua kerusi DUN dalam kawasan pilihan raya Parlimen itu.

Sumber daripada jentera pilihan raya PKR berkata apa yang diperlukan oleh PKR untuk membolehkannya mengekalkan kerusi itu ialah mengekalkan 45 peratus sokongan pengundi Melayu, 70 peratus Cina, 50 peratus India dan separuh daripada undi Orang Asli.

"Jika ini berlaku, kami boleh mengekalkan kerusi itu dengan majoriti antara 500 dan 1,000 undi," kata sumber dalaman PKR.

BN, sebaliknya, membuat perkiraan bahawa gagasan itu mempunyai peluang untuk merampas kembali kerusi itu asalkan boleh mendapat 65 peratus sokongan pengundi Melayu di samping 60 peratus India, 30 peratus Cina dan 50 peratus Orang Asli.

"Jika kami hanya dapat meraih 60 peratus sokongan Melayu sambil mendapat sokongan daripada pengundi kaum lain, masih sukar untuk kami merampas kembali kerusi itu," kata sumber dalaman BN kepada Bernama.

Analisis keputusan pilihan raya 2008 bagi kerusi Parlimen Hulu Selangor menunjukkan bahawa terdapat peralihan arah kepada pembangkang di kawasan majoriti India seperti Ladang Kerling, Changkat Asa dan Sungai Choh Barat.

Kawasan majoriti Cina seperti Kampung Baru Cina Kuala Kubu Baharu, Hulu Yam Lama, Hulu Yam Baharu turut beralih arah kepada pembangkang.Berikutan persaingan yang sengit ini, Hulu Selangor akan menjadi medan ujian kepada kepimpinan MIC dan kepimpinan MCA yang baru dilantik untuk mendapatkan undi bukan Melayu.

Beberapa pemerhati politik percaya PKR memilih Zaid kerana beliau lebih diterima oleh pengundi bukan Melayu. Bagaimanapun, Zaid nampaknya menjadi "sasaran serangan" disebabkan tingkah lakunya di masa lalu.

Namun begitu, penyokong kuat pembangkang cenderung untuk melontarkan persoalan: bolehkah PKR mengulangi pencapaiannya pada 2008 kali ini? Tiada siapa yang tahu secara pasti.

Bagaimanapun, Pengarah Strategik PKR Tian Chua secara berjenaka pernah berkata "setiap kali parti mengetengahkan calon anak tempatan, kami kalah, tapi apabila kami letakkan seorang calon heavyweight, kami menang.

"Sungguhpun ramai yang mungkin menganggapkan Kamalanathan sebagai "lightweight", namun beliau berjaya memenangi dan menambat hati serta minda dengan personalitinya yang amat disenangi.

Latar belakangnya yang sederhana, tiada masalah politik dan keikhlasannya untuk berkhidmat membawa perbezaan yang sangat besar kepada pengundi di pedalaman Hulu Selangor.

Secara fizikal, Kamalanathan mungkin lebih ringan daripada Zaid namun begitu tiada siapa yang boleh menolak kemungkinan bahawa pengamal perhubungan awam ini mungkin muncul sebagai "giant-killer" Ahad ini.

-- BERNAMA

Tiada ulasan: