Analisis PRK Hulu Selangor (3): Komponen BN terus bertengkar

Kelebihan kepada Pakatan Rakyat
oleh Greensaff

Tarikh PRK Hulu selangor telah pun diumumkan. Namun pelbagai cerita dan konflik masih melanda Barisan Nasional.

Ketika Pakatan Rakyat telahpun membuat keputusan untuk meletakkan calon daripada PKR, Barisan Nasional masih lagi kalut untuk menentukan samada untuk membiarkan MIC bertanding di situ ataupun UMNO yang akan mengambil alih kerusi tradisi MIC itu.

Kesefahaman PR dalam PRK kali ini lebih mantap jika hendak dibandingkan dengan BN. UMNO Bahagian Hulu Selangor terus mendesak kepimpinan BN supaya calon daripada mereka dicalonkan,bukannya MIC.

MIC sebelum ini telahpun mengumumkan menerusi Presidennya, bahawa mereka akan bertanding di situ. DS S. Samyvellu telah memberitahu media bahawa Timbalannya, G.Palanivel akan dikekalkan sebagai calon bagi kawasan itu.

Sebagai rekod, G.Palanivel telah mewakili Parlimen tersebut sejak tahun 1990, namun tewas pada PRU12 kepada PKR, menerusi calonnya Datuk Dr Zainal Abidin Ahmad. PKR menang dengan majoriti tipis, 198 undi mengatasi BN.

UMNO lawan MIC

Tanpa berselindung, UMNO secara terbuka meminta kerusi itu diserahkan untuk nengelakkan BN kalah pada PRK nanti.Dalam usaha untuk mendapatkan kembali kerusi itu, bermacam-macam dakwaan dan spekulasi dibuat UMNO.

Bagi UMNO, BN tewas pada PRU lepas kerana pengundi mahu calon Melayu. Mereka juga mendakwa calon MIC, G.Palanivel tidak disukai masyarakat tempatan.

Selain alasan itu, UMNO memberi sebab bahawa masyarakat India sudah tidak yakin kepada MIC. Malah, MIC sendiri hampir karam kerana di peringkat parlimen, parti itu hanya menang tiga kerusi sahaja berbanding sembilan yang diperuntukkan kepada parti tersebut.

Ketika UMNO mendesak supaya kerusi itu diberikan kepada mereka, MIC berkeras untuk meletakan calon mereka.

Kalah bukan sebab MIC : Samy

Presiden MIC itu menolak dakwaan bahawa para pengundi di Parlimen Hulu Selangor tidak berminat dengan calon daripada MIC untuk bertanding dalam pilihan raya kecil itu.

Samy Vellu berkata beliau percaya keadaan di kawasan pilihan raya berkenaan telah pun berubah sejak pilihan raya umum 2008.

Bagi Samy, ini adalah peluang mereka untuk membuktikan MIC telah kembali diterima rakyat terutamanya dalam kalangan masyarakat India. Jika menang, ini akan melonjakkan nama MIC pada mata kaum India sekalil gus nama Samyvellu naik sekali.

Maruah UMNO

UMNO juga tidak akan duduk diam. Mereka akan berusaha untuk mendapatkan kerusi itu. Mereka pantang dicabar. UMNO akan marah andaikata kerusi itu tidak diserahkan. Kerusi itu umpama maruah mereka sebagai ahli UMNO kerana majoriti pengundi di situ adalah Melayu.

UMNO akan melenting jika maruah mereka diinjak. Labih-lebih lagi jika kaum lain yang membuatkan mereka marah. Lihat sahaja bagaimana Hisyamuddin menghunus keris ketika Perhimpunan agung UMNO, memberi amaran kepada kaum lain supaya jangan mencabar UMNO. Peristiwa tersebut amat mengguris hati kaum-kaum lain. Namun UMNO tetap panas baran. Mereka akan melenting jika diusik. Cuba renung kembali peistiwa UMNO Bukit Bendera. Ketua Bahagian sendiri sanggup mengoyak gambar Koh Tsu Koon kerana mereka Ketua Menteri itu meminggir orang Melayu.

Namun dalam keadaan sekarang, UMNO akan cuba berunding dengan MIC. Tetapi perkara tersebut dijangka sia-sia

Rundingan dengan MIC akan gagal?

Rundingan tersebut akan menjadi sia-sia kerana Samyvellu bukanlah orang yang mudah tunduk kepada desakan. Walaupun pelbagai cara dibuat dan macam-macam tuduhan dilontar, Samy akan tetap dengan pendiriannya itu.
Keras kepala Samy dapat dilihat dalam MIC sendiri. Ketika diasak dari pelbagai sudut supaya kerusi Presiden dilepaskan, namun Samy tidak berganjak dan tidak terkesan oleh tekanan.

Samy akan tetap dengan keputusan beliau. MIC akan tetap bertanding di Hulu Selangor. Kalah bukanlah perkara yang penting bagi Samy. Yang penting MIC bertanding. Walaupun pelbagai pihak mengecamnya, pendiriannya tidak akan berubah. Lihat sahaja MIC, walaupun kaum India berpecah kepada 8 parti dek kebencian mereka kepada Samy, namun dia tetap menjadi Presiden MIC.

Masalah BN beri kelebihan kepada PR

Bagi PR, suasana yang dihadapi BN sekarang sudah tentu menggembirakan mereka. Selepas ini mesti akan ada undi protes daripada BN hasil daripada ketidakpuasan hati mereka kepada calon yang diletakkan. Perkara tersebut akan terjadi tidak kira samada calon MIC mahupun UMNO yang bertanding. Hal ini sedah tentu akan menguntungkan PR.


Ketika BN masih sibuk bertekak, jentera PR sudah mula bergerak meninggalkan BN jauh di belakang.

Bagi PR, mereka tidak perlu menunggu lawan bergerak baru mereka mula bergerak. Kerana walau siapapun calon di Hulu Selangor, PR akan lawan habis-habisan untuk memastikan PR dapat mengekalkan kerusi itu daripada terlepas kepada BN.


p/s : UMNO beria-ria nak letak calon mereka. Tapi siapakah yang mereka akan pertaruhkan??
Ikuti analisis seterusnya.

Tiada ulasan: