Sasterawan Negara akui sumbangan PAS mansuhkan PPSMI

Dzulfikar Mashoor

SHAH ALAM, 7 Mac: Sasterawan Negara, Datuk A. Samad Said pagi tadi mengakui pengaruh PAS dalam melengkapkan perjuangan Gerakan Mansuhkan PPSMI (GMP) menentang Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI).

"Saya perlu mengaku bahawa gerakan (anti) PPSMI tidak boleh sampai ke tahap ini, tanpa sokongan orang-orang politik," jelas beliau dalam Majlis Memperingati Setahun Perjuangan GMP, di sini.

Melihat pada kejayaan GMP mengumpulkan lebih 100,000 rakyat menentang PPSMI pada 7 Mac tahun lalu, beliau mengakui bahawa penyertaan parti-parti politik diperlukan untuk mempertahankan bahasa ibunda.

"Walau bagaimanapun pada hari itu, saya mulai sedar bahawa perjuangan bahasa ini tidak mungkin berjaya, tanpa sokongan politik," ujar beliau yang juga Penasihat GMP.

Sehubungan itu, beliau atau nama sebenar Abdul Samad Muhammad Said berkata, usaha memansuhkan PPSMI tidak seharusnya dipolitikkan oleh parti-parti pemerintah sebagai usaha yang sia-sia.

Umno, menurut beliau turut dijemput menentang PPSMI, namun mungkin disebabkan kuasa, duit dan sikap keinggerisan, menjadikan ahli-ahli bagi parti perkauman Melayu itu tidak berupaya menegur pemerintah.

Beliau turut menegaskan untuk terus bersama GMP dan rakyat menentang PPSMI pada 2012 kelak, iaitu tahun kerajaan berjanji untuk memansuhkan dasar anti bahsa ibunda itu.

Turut menyertai A. Samad Said di Muzium Negeri Selangor ialah Datuk Dr. Hassan Ahmad (Pengerusi GMP), Cikgu Azmi Abdul Hamid (Pengerusi Teras), Profesor Dr. Abdullah Hassan (Timbalan Pengerusi GMP/pensyarah UPSI), Dinsman (Pengerusi Paksi), Lutfi Othman (Pengerusi Kami/Editor Harakah), Datuk Mahfuz Omar (Naib Presiden PAS) dan Datuk Abu Bakar Bachik (AJK PAS Pusat).

Dalam perkembangan berkaitan, para aktivis serta cendekiawan Melayu kebanyakan turut mencari rumus lanjutan supaya dasar PPSMI boleh dimansuh lebih awal dari tahun yang dijadualkan.

Tiada ulasan: