Najib janjikan dana saat akhir pikat pengundi Sibu
SIBU, 15 Mei — Datuk Seri Najib Razak membuat janji saat-saat akhir sebelum kempen pilihan raya kecil Sibu berakhir malam ini dengan mengatakan kesediaan kerajaan pusat memberi bantuan kewangan kepada penduduk di sini.
Perdana Menteri muncul di kubu kuat DAP sambil mengumumkan dana RM5 juta bagi projek mitigasi banjir di Rejang Park.
Pengumuman itu dibuat ketika tinggal tiga jam sebelum kempen yang memperlihatkan saingan sengit antara Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Rakyat, berakhir.
“Saya nak buat satu perjanjian dengan anda. Bolehkah kita capai persefahaman atau tidak?” tanya Najib, yang juga Menteri Kewangan kepada kira-kira 1,000 hadirin perhimpunan di kawasan perumahan di sini.
“Persefahaman ini sangat mudah. Saya bantu anda, anda bantu saya,” kata Pengerusi BN ini.
Wakil BN Robert Lau Hui Yew berhadapan dengan saingan Pengerusi DAP negeri Wong Ho Leng dan Narawi Haron, calon Bebas dalam pilihan raya kecil yang pengundiannya diadakan esok.
“Jika Robert Lau menjadi Ahli Parlimen Ahad ini (esok), saya akan minta agar cek disediakan pada hari Isnin,” kata Najib kepada khalayak kalangan masyarakat Cina ini.
Najib (gambar) dikatakan memutuskan untuk membuat kemunculan malam terakhir ini ekoran laporan mengatakan DAP, yang mewakili Pakatan Rakyat, memperlihatkan kemajuan dalam memperoleh sokongan walaupun BN disebut-sebut mempunyai berpeluang cerah untuk mengekalkan kerusi ini.
Pada pilihan raya umum 2008 DAP menerima lebih 60 peratus undi masyarakat Cina.
Masyarakat Cina merangkumi 67 peratus daripada 54,659 pengundi di Sibu.
“Adakah kita mencapai satu perjanjian atau tidak? Kita capai (perjanjian)! Anda mahukan RM5 juta, saya mahu Robert Lau menang,” katanya lagi.
Persinggahan ini melibatkan kawasan padat penduduk di Sibu dengan menawarkan 15,000 pengundi.
Najib juga mempertahankan janji-janjinya memberikan dana dan bantuan ketika pilihan raya kecil.
“Saya datang beberapa hari yang lalu dan saya merasakan macam sambutan Tahun Baru Cina sebab saya memberikan angpau,” katanya lagi.
“Tetapi ia bukan kerana pilihan raya kecil (semata-mata) tetapi kerana kami mendengar (rintihan) anda,” katanya.
Awal minggu Najib menyerahkan peruntukan kewangan RM15 juta kepada sekolah-sekolah Cina di sini.
Ketika pilihan raya kecil Hulu Selangor bulan lalu BN menjanjikan sejumlah wang yang banyak dan bantuan kewangan tetapi hanya memperoleh undi kurang 30 peratus daripada masyarakat Cina.
Najib mencipta sejarah apabila menjadi Perdana Menteri pertama melawat Rejang Park di sini, kawasan yang sekian lama dianggap kubu kuat parti DAP.
Beliau memberitahu penduduk, yang hadir untuk mendengar ceramah menjelang
pilihan raya kecil kerusi Parlimen Sibu esok, bahawa kerajaan di bawah kepimpinannya amat mempercayai konsep dalam Gagasan 1 Malaysia.
“Di bawah 1 Malaysia, kami mahu bekerjsama rapat dan sebab itu saya datang ke Rejang Park kerana saya adalah perdana menteri untuk semua masyarakat,” katanya.
Walaupun penduduk di situ menyokong pembangkang, Najib berkata beliau mahu mereka hanya mendengar satu kisahnya iaitu 1 Malaysia.
p/s: SPR terus membutakan mata, menulikan telinga dengan politik rasuah ini
Tiada ulasan:
Catat Ulasan