al-Kisah Tok Bijan dengan Tok Bama

"Tok Bama yang mahu jumpa saya" - Tok Bijan

gambar hiasan

Tadi Tok Bijan penghulu kampong Manggaliar marah-marah. Ini gara-gara tuduhan penduduk kampung yang tidak puas hati dengan beliau. Penduduk kampong yang diketuai oleh Pak Desai itu mendakwa dia menjadi orang suruhan Tok Bama, orang kaya kampong Amasterika.

Tok Bama memang terkenal dengan kekayaan beliau. Semua orang ingin berdamping dengannya disebabkan ingin mendapat tempias kekayaan itu, walaupun Tok Bama adalah seorang yang kulitnya tidak berapa cerah.

Seluruh negeri tau akan kekayaan beliau. Semua orang gerun dengannya, termasuk ketua-ketua kampung dalam negeri itu. Ini termasuklah ketua Kampung Manggaliar, Tok Bijan. Ini kerana sesiapa yang tidak ikut arahan tok Bama, atau cuba-cuba untuk lawan cakap Tok Bama, akan terima padahnya.

Tok Bijan ni miskin, ada kereta tapi tak ada enjin, ada perahu tapi tak boleh terapung, ada kolam, tapi penuh dengan katak. Dia jadi penghulu pun sebab ayahnya dulu tok ketua kampung Manggaliar. Kalau nak diikutkan, mahu saja penduduk Manggaliar lantik Pak Desai jadi Tok ketua, sebab dia lebih cerdik.

Walaupun begitu, Tok Bijan tetap ingin jadi Tok Ketua walaupun penduduk tak suka. Dia ingin sangat jadi glamer. Kalau boleh, biar Satu Manggaliar kenalnya. Malangnya, Tok Bijan tidaklah glamer dan kaya seperti Tok Bama. Jadi, Tok Bijan mencari jalan bagaimana untuk jadi macam Tok Bama itu.

Dalam usaha mencari idea itu, Tok Bijan teringat seorang yang otak agak bergeliga. Kebetulan, Tok Bijan mengenali seorang gengster yang agak bijak...tapi dalam bab menipu dan memukul orang.

Tok Bijan tidak peduli semua itu, asalkan dia bijak. Tok Bijan tidak percaya penduduk kampungny, lagipun penduduk kampung tak sukakannya. Maka, Tok Bijan pun panggillah gengster tadi, namanya Mat Serael. Dan satu pertemuan sulit dirancang.

Semasa bertemu, ditanya kepada Mat Serael berkenaan masalah nak jadi glamer tu. Maka, Tok Bijan dinasihatkan untuk jumpa Tok Bama, minta sedikit bantuan Tok Bama untuk jadi kaya dan jadi glamer.

Tapi Tok Bijan musykil, ”Nak jumpa Tok Bama bukannya mudah. Lagipun, Tok Bama mana kenal aku yang miskin ni.” kata Tok Bijan.

Namun Mat Serael kata tiada masalah. Sebab dia tu anak buah Tok Bama.

“Tak dak masalah punyer, saya memang kenal sangat Tok Bama” balas Mat Serael. “Lagipun, Tok Bama baik dengan saya..” tambahnya.

Bila mendengar penjelasan Mat Serael tadi, maka berbungalah hati Tok Bijan, dapatlah dia jadi kaya lepas ni.

“Tapi ada satu syarat...” tiba-tiba Mat Serael gengster itu bersuara ketika Tok Bijan mengelamun.

“Syarat??? Syarat apanya????”. Tok Bijan tertanya-tanya.

”Aduh Tok Bijan ni..nak jumpa Tok Bama bukan mudah. Kalau saya tak tolong, susah nak jumpa. Jadi kenalah bagi upah sikit..” kata Mat Serael.

”Adehh..upah??? Berapa kau nak???” tanya Tok Bijan.

”Bagi saya RM77. Semua ditanggung beres.” jelas Mat Serael.

Tok Bijan menghitung-hitung duit dalam dompetnya. Ada la sikit untuk belanja anaknya bersekolah.

”Hmmm..duit tak banyak ni. Lepas ni anak aku nak belanja sekolah macam mana. Ahhh..tak apalah, asalkan glamer. Bagi je RM77 ni kat Mat Serael, pasni aku jadi glamer lepas jumpa Tok Bama. Anak-anak aku makan ubi kayu la bawa bekal pegi sekolah untuk sementara ni..aku boleh jual lagi enjin kereta kalau duit tak ada nanti.” bisik hati Tok Bijan.

Selepas duit diberi, Mat Serael segera membawa Tok Bijan ke rumah yang berwarna putih kepunyaan Tok Bama. Tersenyum lebar Tok Bijan, sebab dapat jumpa Tok Bama. Penghulu kampung lain tidak dapat berbuat demikian.

Ketika sidang bersama Tok Bama berlangsung, di kampung Manggaliar heboh tentang perjumpaan Tok Bijan dengan Tok Bama. Semua orang kampung gembira dan bangga. Dan budak suruhan Tok Bijan, iaitu Mat Ayie, ketika menyebar berita itu kepada orang kampung dengan bangganya mengatakan dia yang tolong memberikan RM77 kepada Mat Serael, sebagai wakil Tok Bijan.

Kebanggan Mat Ayie menumpang glamer Tok Bijan tiba-tiba bertukar menjadi cemas. Ini disebabkan Pak Desai mengecam tindakan berkawan dengan gengster Mat Serael. Pak Desai juga membantah tindakan Tok Bijan yang membelanjakan duit sebanyak itu.

”Duit itu sepatutnya digunakan untuk belanja anak sekolah beliau, lagipun rasanya Tok Bijan masih belum bayar yuran sekolah anaknya.” kata Pak Desai.

Orang-orang kampung bersetuju dengan Pak Desai. Tambahan pula, pada pandangan orang kampunng, tak patut Tok Bijan menggunakan khidmat nasihat si gengster Mat Serael. Telah ramai saudara-mara mereka di kampung sebelah, kampung Palastenun tersiksa akibat selalu dibuli oleh Mat Serael. Penduduk kampung juga mengecam sikap Tok Bama tidak marah dengan tindakan Mat Serael itu.

Maka, dengan kelam-kabut Mat Ayie pun menukar kenyataannya. Dia cakap, bukan Mat Serael yang bawa Tok Bijan pergi jumpa Tok Bama, tapi Tok Bijan dipelawa untuk jumpa Tok Bama. Sikit punya kelentong Mat Ayie, takut dimarahi Tok Bijan bila balik nanti.

Setelah beberapa lama berada di kampung Amasterika, Tok Bijan pun pulang ke kampung dengan gembiranya. Gembira sebab dapat jumpa Tok Bama. Namun, kepulangan itu disambut dingin penduduk kampung.

Tok Bijan heran, lalu bertanya kepada Mat Ayie.

”Kenapa semua tak nampak gembira saya balik” tanya Tok Bijan.

”Errr..begini Tok..bukan dorang tak suka Tok pergi jumpa Tok Bama, tapi dorang marah sebab Tok kawan dengan gengster kampunbg sebelah tu..Mat Serael. Lagipun, Pak Desai cakap Tok pergi melutut kepada Tok Bama..” jelas Mat Ayie.

Punyalah berang Tok Bijan bila dengar penjelasan itu.

Maka, dengan marahnya, Tok Bijan segera menyuruh Mat Ayie memanggil semua orang kampung. Beduk pun diketuk memanggil orang kampung datang. Maka, Tok Bijan pun menjelaskan perkara yang kononnya benar kepada penduduk kampung.

"Salam Satu Manggaliar. Wahai penduduk-pendudukku sekalian,..” Tok Bijan memulakan ucapan.

Dia pun menceritakan pengalamannnya berjumpa dengan Tok Bama. Setelah beberapa ketika...Tok Bijan masuk kepada agenda sebenarnya.

”Saya tidak tunduk kepada Tok Bama sepertimana didakwa oleh Pak Desai!!!” bergegar pentas dek ucapan Tok Bijan.

"Hakikatnya, Tok Bama mahu berjumpa saya. Dalam pertemuan kami, beliau meminta saya menjelaskan mengenai Model Ekonomi Bijan (M.E.Bi) yang saya rangka untuk memajukan kampung kita," katanya.

Menurut Tok Bijan beliau merupakan satu-satunya pemimpin dari negeri itu yang diberikan peluang tersebut.

Maka penduduk yang mendengarnya mengangguk-angguk, percaya apa yang dikatakan Tok Bijan.

Begitulah nasib penduduk kampung Manggaliar, 50 tahun ditipu Tok Bijan dan konco-konconya. Kecuali mereka yang cerdik macam Pak Desai dan pengikut-pengkutnya.

Tiada ulasan: