PRK Sibu : kajian Zentrum

BN diramal menang

Keputusan pilihan raya kecil parlimen Sibu esok akan dipengaruhi sebahagian besar dengan peratusan golongan muda yang bakal keluar mengundi.

Golongan muda dalam lingkungan 21 hingga 40 tahun mewakili 42 peratus pengundi di Sibu dan kemenangan kepada Barisan Nasional mahupun Pakatan Rakyat terletak kepada keupayaan mereka untuk menarik golongan ini menyokong mereka.

Pengasas Zentrum Future Studies Malaysia, Abu Hassan Abdullah menjangkakan persaingan sengit antara Barisan Nasional dan Pakatan Rakyat untuk mengisi kekosongan kerusi parlimen Sibu.

Beliau berkata kerusi Sibu milik BN untuk dipertahankan, tetapi percaturan ini boleh berubah sekiranya BN tidak berhati-hati kerana ia berada hanya 4 peratus di hadapan Pakatan.

Menurut kajian Mikro Persepsi Kepercayaan Politik Zentrum, keputusan lewat malam semalam menunjukkan BN mendahului dengan 52.2 peratus berbanding Pakatan/DAP yang mendapat sokongan 47.6 peratus.

Calon Bebas pula hanya mendapat kepercayaan 0.2 peratus.Abu Hassan berkata Pakatan masih di belakang di semua tiga kerusi DUN iaitu Bawang Assan, Pelawan dan Nangka, yang terletak di kawasan parlimen Sibu.

“Keputusan pilihanraya esok banyak bergantung pada golongan muda membuang undi. Mereka dilihat sebagai pro-Pakatan, menurut kajian kami,” katanya kepada Malaysiakini.

“Kajian kami menunjukkan kebanyakkan golongan muda antara 21 hingga 40 di Sibu serta di pelusuk Malaysia adalah pro-Pakatan. Tetapi kajian ini tidak bermakna sekiranya, mereka tidak mengamalkan hak mereka untuk membuang undi.”

Kehadiran Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan ketua pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada hari terakhir kempen, menggambarkan pertempuran sengit untuk memenangi hati pengundi khasnya golongan pemuda di sana.

Menurut pensyarah dari Universiti Malaya itu lagi, majoriti golongan berusia, khususnya di kawasan pendalaman dan hulu Sibu masih berpihak kepada BN, dan keputusan esok banyak bergantung kepada peratusan golongan muda mengundi.BN dan Pakatan, katanya harus mencari jalan untuk memastikan pe4nyokong masing-masing keluar mengundi.

Menurut Abu Hassan, trend yang sama dijangka pada pilihan raya umum ke 13 nanti dan kejayaan terletak kepada keupayaan BN dan Pakatan menarik golongan muda.

Beliau juga berkata semasa pilihan raya kecil Hulu Selangor, golongan muda mewakili 47 peratus daripada jumlah pengundi.Walaupun demikian, katanya hanya 18 peratus daripada golongan itu yang keluar mengundi pada hari tersebut, manakala hampir 30 peratus lagi tidak mengundi walaupun layak.

Dakwanya majoriti golongan tersebut merupakan penyokong Pakatan tetapi mereka tidak keluar.

“Perkara ini agak pelik walaupun mereka berkata mereka menyokong Pakatan dalam kajian kami.

“Saya rasa ada antara alasan diberikan adalah golongan muda yang mempunyai persepsi tidak hendak bersusah payah beratur berjam-jam menunggu giliran untuk mengundi. Ini harus dikaji oleh pemimpin politik,” katanya.

Zentrum merakamkan maklum balas responden melalui audio visual, untuk mengkaji sentimen mereka dalam apa yang mereka namakan kajian Mikro Persepsi Kepercayaan Politik.

Abu Hassan juga menolak kenyataan Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin kononnya kejayan BN merampas Hulu Selangor sebagai bukti yang melambangkan golongan muda telah kembali ke pangkuan BN.

Sebalikny a, menurut beliau kejayaan itu kerana golongan muda tidak mengundi.Menurut Abu Hassan jika trend yang sama berulang di Sibu, maka BN akan menang.“Sekiranya, kehadiran golongan muda keluar mengundi bertambah, maka DAP berpeluang merampas Sibu dengan majoriti tipis iaitu dengan undi kurang 1,000 ke bawah,” katanya.

malaysiakini


Tiada ulasan: