SOSIAL
KALKIAN ada pun calon sekutu parti Jantan dalam undian di Hulu Selangor lalu dibangkit oleh parti seterunya, sebagai orang kuat bersosial dan kaki minum.
Jika yang mentakwil itu suku sakat Jantan yang terkeliru, ‘ala kulihal' jugalah.
Akan tetapi tukang bangkit itu puak-puak seteru parti Jantan yang sosial dan minum itu darah daging mereka itu.
Apalah kurangnya memanda dan juak-juaknya.
Calon sekutu parti Jantan itu tiada dilapor dia meraba. Akan puak memanda dilapor meraba dia.
Gerangan apa meraba? Gara-gara sosiallah.
Jantan rekod.
BERUBAH
Berkata Tok Ketua parti Jantan:
Calon sekutu parti Jantan itu sudah berubah sejak balik dari Mekah.
Menengok Jantan akan gambar isterinya.
Bertudung ia macam Muslimat parti Jantan juga.
Akan puak memanda, bila ke Mekah saja memanda maka ke Mekah jualah isteri masing-masing.
Keluar dari Mekah bergerbanglah kepala mereka itu.
Tiada sempat tiba ke 1Malaysia, di tanahair baginda Rasul lagi terdedah mereka itu.
Akan isteri calon yang parti Jantan sokong, lingkup ia.
Jantan kesan ke Mekah.
TANYA
Maka berkata lagi Tok Ketua parti Jantan:
Tiada adil baca saja blog tentang status sosial calon parti sekutu Jantan.
Kena tanya dan tengok dia.
Tok Ketua parti Jantan tentu sudah tanya dan tiada sekadar tengok, bahkan sudah berkawan.
Bila Tok Ketua parti Jantan kata calon itu sudah berubah, tentulah sesudah ditanya dan ditengok.
Jantan percaya ketua. Jika tak percaya ketua, nak percaya siapa lagi?
Jantan tolak seteru.
SETERU
Ada pun status sosial calon sekutu parti Jantan dulu itu, kalau ya pun semasa bersama parti seteru dulu.
Dalam parti seteru apa yang tiada?
Bukan sekadar makan dan minum, yang mencekik todi dan samsu pun ada.
Dikatakan membunuh, didakwa membunuh dan dipenjara membunuh pun ada.
Kalau sama parti kerbau, tak main lumpur pun terpalit lumpur juga.
Kalau sudah bersama parti orang sembahyang, yang tak sembahyang pun belajar sembahyang juga.
Jantan tengok kawan.
ABU SOFIAN
Lalu ada yang tikai parti Jantan gerangan apa sokong orang yang saman kes parti Jantan ngenai hudud.
Pada Jantan, itu semasa sebelah seteru dulu. Tapi sekarang sudah sekutu parti Jantan.
Teringat Jantan akan Abu Sofian. Tiada yang lebih memusuhi Nabi SAW selainnya.
Itu semasa jahiliyah. Apabila sudah dia sebelah baginda, ketika pembebasan Mekah bersabda baginda bermaksud:
"Siapa berlindung di rumah Abu Sofian dijamin selamat."
Indahnya Islam!
Jantan cintai keindahan.
TAUBAT
Bertanya orang akan Tok Ketua parti Jantan tentang status sosial calon yang disokong.
Berkata Tok Ketua parti Jantan, dia sudah berubah.
Jantan fikir, berubah itu taubatlah.
Teringat Jantan akan kes kemarau teruk 70 ribu Bani Israil hadapi di zaman Nabi Musa.
Minta Bani Israil akan Nabi Musa berdoa diturunkan hujan. Berdoa baginda bersama 70 ribu Bani Israil. Tiada makbul doa itu. Bertanya Nabi gerangan apa doa tiada makbul?
Memberitahu Allah pada Nabi, tiada diturun hujan justeru seorang dari 70,000 itu 40 tahun bergelumang maksiat. Minta Nabi agar si maksiat itu keluar agar turun hujan. Tiada muncul si maksiat akan tetapi memohon taubat ia seikhlasnya.
Belum habis doa taubatnya mencurah hujan selebatnya. Bertanya Nabi akan Allah gerangan apa hujan turun sedang si maksiat tidak keluar. Memberitahu Allah pada Nabi:
Justeru maksiatnya tiada diturunkan hujan. Justeru taubatnya diturunkan hujan.
Jantan insaf.
TURKI
Teringat Jantan akan penjual arak sokong parti Islam di Turki. Ditanya dia tiada takutkah kalau Islam menang dia nanti tiada boleh jual arak?
Jawabnya, kerana tidak guna Islam, jadikan dia jual arak. Kalau guna Islam tentu dia tidak jual arak.
Jantan Allahu Akbar.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan