Penduduk Gaza, rakyat Palestin wira sebenar - Sukarelawan Malaysia

Bertahun-tahun hadapi Israel

AMMAN - Dr Syed Muhammad Haleem Syed Hassan masih menyimpan seluar yang dipakai beliau ketika berlakunya serangan maut Israel ke atas kapal yang membawa bantuan kemanusiaan ke Gaza, dan kesan darah yang sudah pudar jelas kelihatan walaupun sudah dicuci dua kali.

Selain merawat mereka yang cedera dan menyaksikan kematian di lantai kapal "Mavi Marmara" yang berlumuran darah, anggota pertubuhan bukan kerajaan (NGO) pro-Palestin, Haluan Malaysia, turut diacukan pistol di kepalanya pada suatu ketika.

Beliau dan 11 lagi sukarelawan Malaysia, termasuk dua wakil media, turut menangis kegembiraan dan memeluk satu sama lain -- lega kerana semua orang selamat -- ketika bertemu semula sebelum dibebaskan oleh pihak berkuasa Israel pada Rabu.

"Bagaimanapun, kesulitan dan ketegangan yang kami alami pada hari tersebut dan selepasnya dalam pertempungan secara dekat dengan tentera Israel, tidak seberapa jika dibandingkan dengan apa yang dilalui penduduk Gaza dan rakyat Palestin setiap hari sejak bertahun-tahun.

"Mereka sebenarnya layak digelar wira," kata Dr Syed Muhammad Haleem kepada Bernama ketika menceritakan insiden serangan Isnin lepas terhadap kapal bantuan yang ketika itu sedang belayar di perairan antarabangsa menuju ke Semenanjung Gaza, dengan azam memecahkan kepungan Israel di wilayah pinggir pantai berkenaan sejak tiga tahun lalu.

Sentimen beliau dikongsi ketua NGO Malaysia Noorazman Mohamad Samsuddin, yang merupakan ketua biro Palestin Haluan Malaysia.

"Memang apa yang kami lalui adalah sesuatu yang luar biasa, dan semua orang akan bercakap tentangnya. Tetapi saya rasa kisah sebenar di sini masih mengenai Gaza, Palestin dan penduduknya yang sedang menderita di sana," katanya.

Melihat kepada panggilan telefon tanpa henti yang diterima bukan sahaja daripada keluarga dan teman-teman, malah pihak media di Malaysia yang ingin mendapatkan butiran mengenai pengalaman mereka, kesemua 12 sukarelawan tersebut dijangka menjadi bahan berita untuk tempoh yang agak lama.

"Kami akan menggunakan setiap peluang yang ada untuk bercakap dan mengingatkan orang ramai tentang keperluan membantu saudara kita di Palestin yang sedang dijajah Israel," kata Noorazman.

"Nilai sebenar tugas kita bergantung kepada keikhlasan. Jika anda kehilangannya, apa sahaja yang anda lakukan tidak memberi sebarang makna," katanya. -Bernama